Posted by: lloni | 3 September 2008

Jangan tertipu dengan kehidupan dunia

DAN tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (al-An’aam: 32)

HURAIAN Ayat ini menjelaskan nilai kehidupan dunia hanyalah satu permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan. Ia bukan kebahagian yang hakiki. Sebagai seorang muslim kita perlu sedar bahawa dunia ini adalah medan untuk beramal ibadah yang hasilnya diperoleh di akhirat kelak. Bertepatan dengan tujuan kita dijadikan oleh Allah SWT ialah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Justeru jangan sekali-kali kita leka dengan kehidupan dunia sehingga sanggup mengabaikan perintah Allah dan melakukan perbuatan yang dilarang.

Ayat ini juga menggambarkan salah satu ciri orang yang bertakwa iaitu mengutamakan kehidupan akhirat yang berupa ganjaran syurga daripada tenggelam dengan keseronokan dunia yang bersifat sementara, sia-sia dan melalaikan.

Hakikatnya dunia adalah jambatan menuju kehidupan yang abadi di akhirat. Amatlah rugi mereka yang mengejar habuan dunia, asyik dengan permainan hiburan dan maksiat sehingga lupa antara halal atau haram, yang disuruh dan yang dilarang.

Mereka yang ingin meningkatkan ketakwaan kepada Allah perlulah mengawal diri agar tidak dilalaikan dengan keseronokan kehidupan dunia. Segala nikmat yang diperoleh semasa hidup wajar digunakan ke arah memperbanyakkan amal-amal kebajikan dan pengabdian kepada Allah. Kita perlu ingat bahawa habuan dunia hanyalah wasilah mencapai kebahagiaan yang hakiki dalam kehidupan akhirat yang abadi. Kelazatan syurga boleh diperoleh melalui amal salih, iman di hati

 SETIAP orang mesti mempunyai impian. Mungkinkah impian itu tercapai di dunia ini? Apakah ada lagi yang lebih hebat daripada itu semua?

Percayalah sebenarnya dunia adalah tempat segala kekurangan. Jika anda kaya, tidak semestinya anda bahagia. Yang ramai anak belum tentu lebih bahagia daripada yang tiada anak.

Beristeri cantik bukan jaminan hati boleh senang, mungkin lebih membuat anda resah dan gelisah. Sesungguhnya dunia tidak sempurna dan siapakah agaknya di dunia ini yang terlepas daripada musibah dan ujian?

Semua insan mesti merasai sakit, susah, putus asa dan gagal. Di manakah kita boleh terlepas daripada ketidaksempurnaan ini? Tempat itu ialah di syurga Allah, destinasi yang pelik tetapi benar! Yang tak pernah ada seorang pun melihatnya kerana terlalu cantik.

Tiada telinga yang pernah mendengarnya kerana banyak rahsia kehebatannya. Tiada pernah hati berasa kerana tempat ini terlalu ajaib. Tidak dapat dibandingkan dengan dunia yang murah dan tidak bernilai.

Pada suatu hari Rasulullah SAW pernah berjalan bersama sahabatnya, mereka melihat bangkai seekor kambing yang dikerumuni lalat kerana bau busuk. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Dunia tidak ubahnya seperti bangkai ini di sisi Allah.”

Bolehkah kita bandingkan kenikmatan dunia dengan kesempurnaan syurga Allah? Jauh sekali penilaiannya. Terlalu singkat akal orang yang mahukan hidup di dunia sepuas-puasnya kerana dia tidak akan pernah puas di atas tempat yang penuh dengan kekurangan ini.

Orang bijaksana tidak akan tertipu dengan kenikmatan dunia yang bagaikan fatamorgana. Kalau pun ada ia sangat singkat dan bagaikan pukauan saja.

Carilah bahagia yang kekal abadi dan nikmat tertinggi serta kelazatan yang tidak ternilai. Seperti hadis Rasulullah SAW menceritakannya: “Ada batu bata daripada emas, ada batu bata daripada perak, catnya minyak kasturi yang harum, kerikilnya mutiara dan yakut, dan pasirnya safran. Siapa yang memasukinya akan merasai nikmat, tidak bersedih hati, kekal dan tidak mati, bajunya tidak basah dan keremajaannya tidak sirna.” (Hadis Riwayat Imam al-Tirmizi, Ahmad, Ibnu Hibban, al-Darimi dan Ibnul Mubarak).

Sabdanya lagi: “Golongan pertama kali masuk syurga bagaikan rembulan pada malam purnama, yang berikutnya bagaikan bintang berkilauan yang cahayanya paling terang. Mereka tidak membuang kotoran, tidak membuang hingus dan tidak meludah. Sikat rambut mereka terbuat daripada emas, keringat mereka berbau kasturi. Pendupaan mereka kayu gaharu yang harum. Isteri mereka bidadari, akhlak mereka sama. Bentuk mereka sama seperti bapa mereka Adam yang tingginya enam puluh hasta menjulang ke langit.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bukankah syurga itu impian yang paling baik? Cita-cita yang paling hebat dan angan-angan yang paling indah. Satu bentuk kejayaan yang tiada bandingannya. Apabila malaikat melaporkan perbuatan hamba-hamba Allah dalam satu majlis zikir. Allah bertanya, padahal Dialah yang Maha Mengetahui: “Apakah yang mereka minta?” Malaikat menjawab: “Syurga-Mu ya Allah.”

Allah bertanya: “Apakah mereka melihat syurga-Ku?” Malaikat menjawab: “Tidak, ya Allah.” Allah bertanya: “Bagaimana jika mereka melihat syurga-Ku? Malaikat menjawab: “Sudah tentu mereka bertambah tamak beribadat dan memintanya dengan penuh kesungguhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bagaimana dengan kita yang masih diulit mimpi mengharap dunia yang tidak berharga ini? Mengejar ke seluruh penjurunya hingga lupa tanggungjawab diri, anak dan isteri. Sukakah kita terus ditipu hingga melupakan syurga, kampung halaman kita suatu ketika dulu?

Belajarlah daripada Asiah, seorang isteri yang beriman hingga sanggup meninggalkan segalanya untuk mendapatkan sebuah rumah di syurga.

Jika anda lapar dan haus ketika berpuasa, ingatlah kesabaran itu semata-mata untuk mendapatkan rumah anda di syurga. Jika rasa hati disakiti, buat apa berdendam kerana esok kenikmatan syurga akan menghapuskan kesakitan itu.

Jika letih menjadi isteri di sisi suami yang cerewet dan anak yang mengganggu kesenangan, cubalah bersabar untuk mendapatkan ganjaran berada di sebuah rumah, seperti rumah Asiah. Dan memiliki setalam hidangan seperti hidangan Khadijah yang dikirim khas dari dapur syurga.

Semua diperoleh dengan amal salih dan iman di hati. Jika anda merancang kehidupan yang sempurna di dunia, kenapa tidak merancang kehidupan yang sempurna sampai ke akhirat? Padahal di sanalah puncak kebahagiaan kita.

 KESIMPULAN

Keseronokan dunia adalah sesuatu yang sia-sia dan melalaikan segala nikmat kehidupan dunia perlulah menjurus kepada pengabdian yang mutlak kepada Allah. Orang yang lebih takwa lebih mengutamakan kehidupan akhirat yang abadi daripada digadaikan kepada keseronokan dunia yang bersifat sementara, sia-sia dan melalaikan. Sesungguhnya kehidupan dunia adalah jambatan dan wasilah bagi mencapai kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat.


Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: